WARGA MARITIM2  ORANG AWAM2  MEDIA2  DIREKTORI  epenyertaan new  logo carian tp
 

Berita Utama

LAHAD DATU, 3 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Maritim Lahad Datu telah berjaya menghalang cubaan keluar 8 orang PATI warganegara asing bersama barang kawalan dari Daerah Lahad Datu semalam.

Pengarah Maritim Pangkalan, Pangkalan Maritim Lahad Datu Leftenan Komander Maritim Radzil Allexender bin Raphael berkata, bot peronda APMM (Banggi 35) yang sedang menjalankan tugas rondaan di sekitar perairan Felda Sahabat telah menerima maklumat daripada kapal Tentera Laut Diraja Malaysia KD SRI PERLIS. Bertindak atas maklumat tersebut, bot Banggi 35 telah berjaya mengesan dan memintas sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan di sekitar perairan Kg. Tanduo menuju ke sempadan perairan Filipina.

“Pada jam lebih kurang 01.00 pagi, bot Bot Banggi 35 telah menahan bot pancung tersebut. Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot berkenaan tidak mempunyai sebarang nombor pendaftaran dan terdapat 8 penumpang disyaki warganegara Filipina yang terdiri daripada 6 lelaki dewasa dan 2 perempuan dewasa berumur dalam lingkungan 20 tahun hingga 60 tahun. Pemeriksaan juga mendapati terdapat barangan kawalan yang cuba diseludup keluar iaitu minyak petrol, tong gas, minyak masak dan tepung gandum,” katanya.

Tambahnya lagi, bot pancung tersebut bertindak menyusup keluar ke Filipina dari Perairan Tanduo, Felda Sahabat. Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pos Maritim Felda Sahabat untuk disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kawalan Bekalan 1961. APMM Lahad Datu sentiasa tegas dalam menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang Malaysia di perairan Lahad Datu. Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi terus di talian 089-885727 pusat operasi APMM Lahad Datu atau di talian MERS 999 untuk sebarang kejadian kecemasan.

 

6efe0af2-55c5-4c52-a3a9-3c46cb65a385 52aa2563-7226-42c9-800e-92e53b9ff19f

Sumber/Foto :

Staf Perhubungan Awam Pangkalan Maritim Lahad Datu